fb fb fb fb fb

Pertumbuhan ekonomi tahun 2022 dijangka lebih baik - PM

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada majlis perjumpaan bersama Keluarga Malaysia di Hanoi sempena lawatan rasmi beliau ke Vietnam)

HANOI, 20 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan tidak benar sama sekali kerajaan gagal memulihkan ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik COVID-19 selama dua tahun.

Menurut beliau, buktinya negara berada pada landasan yang betul apabila ekonomi berkembang sebanyak 3.1 peratus tahun lalu berbanding penguncupan 5.6 peratus pada tahun 2020.

“Ramai yang menganggap bahawa kita masih gagal untuk memulihkan ekonomi. Sebenarnya kita telah pun berjaya memulihkan ekonomi, dari segi jumlah pelaburan langsung asing (FDI) juga merekodkan peningkatan pada tahun 2021 iaitu melebihi RM50 bilion berbanding tahun 2020 sebanyak RM14.6 bilion.

“Indikator positif ini memberi gambaran bahawa negara sedang menuju ke arah pemulihan ekonomi untuk mencapai unjuran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 5.5 peratus sehingga 6.5 peratus bagi tahun 2022, selari dengan unjuran yang dibuat oleh IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) dan Bank Dunia,” katanya pada majlis perjumpaan bersama Keluarga Malaysia di sini, sempena lawatan rasmi beliau ke Vietnam.


(Gambar fail)

Beliau turut memaklumkan, kadar pengangguran juga dapat dikurangkan daripada 4.6 peratus kepada 4.2 peratus pada tahun 2021.

Dengan pembukaan sempadan negara pada 1 April ini, dijangka ekonomi tempatan turut meningkat terutama sekali dalam sektor pelancongan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memberi jaminan kepada rakyat Malaysia yang berada di luar negara bahawa situasi politik tempatan tetap stabil dan tidak memberi kesan negatif kepada perkembangan ekonomi.

Ketika ini, kerajaan dan pembangkang masih dapat duduk semeja berikutan termeterainya Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik pada September tahun lalu.

"Walaupun berbeza pandangan tetapi tidaklah terlalu emosional seperti dulu dan mereka (pembangkang) sokong kerajaan di dalam Parlimen,setiap undi yang kita lakukan dalam Parlimen tidak mendapat tentangan daripada pembangkang setakat ini, bajet apabila diluluskan mesti sebulat suara, di peringkat dasar,di peringkat komuniti pun tidak ada gangguan," kata beliau.

Media Baharu