fb fb fb fb fb

Bayaran fasa 1 Bantuan Keluarga Malaysia mulai 28 Mac

KUALA LUMPUR, 20 Mac - Pembayaran Fasa 1 Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang berjumlah hampir RM2 bilion akan dilakukan secara berperingkat bermula 28 Mac ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan berkata, 8.6 juta penerima akan mendapat bayaran RM100 hingga RM300 berdasarkan kelayakan.

Jumlah berkenaan merangkumi empat juta isi rumah, 1.2 juta warga emas (yang bujang atau tiada pasangan) dan 3.4 juta individu bujang.

“Bagi penerima isi rumah, warga emas dan individu bujang, tarikh pembayaran akan bermula 28 Mac sehingga 8 April dan akan terus dikreditkan ke akaun bank.

“Bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank (termasuk di Sabah dan Sarawak), pembayaran akan dibuat bermula 30 Mac melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN). Pihak BSN akan mengeluarkan panduan SOP (prosedur operasi standard) dari semasa ke semasa,” katanya.



(Gambar fail)

Ismail Sabri berkata pembayaran itu juga bagi meringankan beban kewangan rakyat terutamanya dalam menyambut bulan Ramadan.

Bagi memastikan program BKM disasar kepada mereka yang benar-benar layak, permohonan rayuan akan dibuka selama sebulan mulai 2 Mei 2022.

Status kelulusan BKM boleh disemak mulai 28 Mac 2022 melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my.

BKM merupakan inisiatif bantuan tunai langsung yang diumumkan dalam Belanjawan 2022 bagi memanfaatkan golongan B40.

Media Baharu