(Foto Hiasan)
KUALA LUMPUR, 8 Mac- Proses pertukaran dan pusingan kerja penjawat awam dilaksana berpandukan undang-undang berkaitan perkhidmatan awam.
Ia selari dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat Dan Penamatan Perkhidmatan) 2012 dan Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969.
Demikian penegasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali yang menempelak dakwaan kononnya wujud campur tangan terhadap pertukaran penjawat awam dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Beliau juga memaklumkan pertukaran penjawat awam adalah normal dan ia turut berlaku dalam pentadbiran kerajaan terdahulu.
"Untuk pertukaran dan pusingan kerja, Pangkat Jusa C dan ke atas, semasa pentadbiran Perdana Menteri (PM) Ketujuh (Tun Dr Mahathir Mohamad), berlaku 128 pertukaran.
"PM Kelapan (Tan Sri Muhyiddin Yassin) adalah 104, PM Kesembilan (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) 92, dan kerajaan PM sekarang (Datuk Seri Anwar Ibrahim) setakat 28 Februari adalah 62.
"Jadi tidak betul persepsi itu (pertukaran penjawat awam) hanya bersandarkan kepada pentadbiran kali ini," katanya.
(Datuk Armizan Mohd Ali)
Beliau menyatakan demikian pada sesi penggulungan usul Belanjawan 2023, di Dewan Rakyat.