IPOH, 8 Mac- Sebanyak 173 premis kedai makanan di Perak telah menyertai program Menu Rahmah, sejak dilancarkan 31 Januari lepas.
Exco Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak, Woo Kah Leong yakin jumlah sebenar adalah lebih daripada itu.
Memandangkan terdapat peniaga yang memperkenalkan Menu Rahmah tidak berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri.
"Saya rasa tentu akan ada pertambahan sebab saya sendiri tengok banyak peniaga yang mereka memperkenalkan Menu Rahmah tetapi tidak berdaftar dengan KPDN, ini saya nampak dengan mata sendiri di kawasan Teluk Intan, Taiping dan Ipoh .
"Dan saya rasa, 173 adalah info rasmi dan saya rasa di Perak ini sudah tentu lebih 200," katanya.
(Woo Kah Leong)
Beliau bercakap kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Rahmah Raya Aeon Klebang, di sini hari ini.
Woo juga berkata, Menu Rahmah di Perak berkualiti, selain sesuai untuk semua golongan masyarakat.
Sementara itu, Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail memberitahu tiada aduan diterima daripada peniaga atau pelanggan melibatkan kualiti atau kuantiti Menu Rahmah, yang diperkenalkan di negeri itu.
"Buat masa ini di Perak kita tidak ada terima aduan daripada para peniaga dan pengguna yang mengatakan ambik kesempatan terhadap Menu Rahmah ini.
"Jadi kita belum ada terima sebarang aduan dari seluruh negeri Perak, jadi saya minta kalau ada yang kata kurang dari segi kualiti dan ambil kesempatan mohon dipanjangkan ke pihak KPDN," katanya.
(Datuk Kamalludin Ismail)
Dalam pada itu, Kamalludin berkata pihaknya dalam perancangan untuk mewujudkan Bazar Ramadan Rahmah di Ipoh dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), yang kini diperingkat mengenal pasti kawasan untuk program tersebut.