MUAR, 9 Oktober- Seorang remaja orang kurang upaya (OKU) dihadapkan di Mahkamah Sesyen Muar hari ini atas pertuduhan merogol dan dua pertuduhan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 13 tahun pada bulan lalu.
Tertuduh, berusia 19 tahun, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa merogol mangsa di belakang sebuah rumah di Lorong Haji Omar, Kampung Parit Sakai, Jalan Temenggong Ahmad, Muar pada pukul 1.00, awal September lalu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di sebuah rumah di Kampung Parit Punggor, Jalan Temenggong Ahmad, Parit Jawa pukul 10.00 malam, September lalu.
Pertuduhan ketiga pula, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal di tempat sama pada pukul 11.15 malam, 29 September lalu.
Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan serta Seksyen 14(b) dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 14 akta sama.
(Foto Fail)
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM8,000 selain dikenakan syarat tambahan lain. Kes disebut semula pada 16 November hadapan.