SEREMBAN, 9 Oktober - Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diingatkan supaya tidak berbalah dan mengamalkan politik dendam yang akhirnya menyimpang daripada matlamat untuk memajukan negeri.
Demikian titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Tegas baginda, mandat yang diberikan sebagai wakil rakyat merupakan amanah yang perlu diterjemahkan dengan penuh tanggungjawab.
Titah baginda, fokus perlu diberikan kepada agenda membangunkan negeri dan menyejahterakan rakyat.
Tambah baginda, Ahli Dewan Undangan (ADUN) juga diingatkan supaya berbahas dan berhujah secara rasional dan intelektual terhadap perkara yang boleh membawa kebaikan dan manfaat di samping mematuhi Peraturan-Peraturan Tetap Dewan sepanjang persidangan berlangsung.
"Kewajipan yang diberikan perlu dilaksanakan dengan penuh integriti dan akauntabiliti serta mengutamakan kepentingan negeri tanpa ada agenda kepentingan mana-mana parti politik ataupun peribadi.
"Perancangan dan pelaksanaan dasar perlu disegerakan agar rakyat negeri ini terus terbela kehidupannya dalam suasana masyarakat yang harmoni dan selamat", titah Tuanku Muhriz pada Persidangan Kedua (Perasmian) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke- 15 di sini.
Terdahulu, baginda bersama Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berangkat tiba di pekarangan bangunan DUN Negeri Sembilan kira-kira pukul 9.40 pagi.
Tuanku Muhriz kemudian berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama dari Batalion Ke-14 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) yang terdiri daripada tiga orang pegawai dan 103 orang anggota lain-lain pangkat diketuai Mejar Ahmad Razmee Ab. Kadir.
Persidangan Kedua (Perasmian) Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan Yang Ke-15 akan berlangsung selama lima hari bermula hari ini sehingga 13 Oktober.
(Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir)