(Peserta-peserta Program Youth2Unity@Patriotic 'Kem Jati Diri Belia Perlis')
KANGAR, 9 Oktober- Seramai 300 peserta daripada sekolah-sekolah menengah seluruh Perlis terpilih menyetai Program Youth2Unity@Patriotic 'Kem Jati Diri Belia Perlis.'
Program dilaksanakan selama tiga hari melibatkan tiga Kem Wawasan Negara (KWN) iaitu Kaki Bukit, Kulim dan Ulu Kenas.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, saban tahun akan dilaksanakan latihan kem jati diri ini kepada belia Perlis khususnya bagi mengekalkan nilai dan identiti, meningkatkan daya tahan tinggi dan semangat kenegaraan.
Kursus jati diri diyakini mampu memberikan impak positif kepada para belia khususnya dalam membentuk karakter dan mempunyai sifat kesiapsiagaan untuk terus komited dalam melaksanakan sesuatu walaupun menempuh pelbagai cabaran dan halangan.
"Segala ilmu yang bakal dipelajari perlu dipraktikkan dalam sosio masyarakat setempat supaya manfaat ini akan mampu memberikan impak yang baik kepada negeri Perlis khususnya.
"Ilmu kepimpinan melalui nilai jati diri anak watan semestinya ada bagi belia negeri ini dalam menjadikan Perlis sebagai Maju dan Hebat," titah Tuanku Syed Faizuddin.
Demikian titah baginda ketika berkenan merasmikan Program Youth2Unity@Patriotic 'Kem Jati Diri Belia Perlis' di Dewan Warisan, Kangar.
Program dianjurkan Institut Pembangunan Dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
(Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan Program
Youth2Unity@Patriotic 'Kem Jati Diri Belia Perlis' di Dewan Warisan Kangar)