KUALA LUMPUR, 9 Oktober - Kajian bagi melaksanakan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya perlu melalui tiga fasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata ia mengambil kira kompleksiti dan cabaran dihadapi untuk memastikan ia dibuat secara terperinci dan holistik.
Katanya, dua pasukan ditubuhkan iaitu Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif dan Pasukan Petugas Khas Teknikal bagi memastikan pengasingan itu dapat dilaksana secara telus tanpa sebarang pengaruh politik.
"Fasa Pertama, Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif sedang menjalankan kajian berdasarkan penyelidikan berasaskan bukti ke atas beberapa buah negara bagi meneliti dan merangka model yang paling sesuai dalam konteks Malaysia dengan mengambil kira prinsip "shawcross" dan doktrin pengasingan bebas.
"Fasa Kedua, Pasukan Petugas Khas Teknikal akan meneliti secara komprehensif mengenai implikasi perundangan, perjawatan dan kewangan dan menyediakan laporan interim untuk pertimbangan Jemaah Menteri," katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat.
Tambah Azalina, fasa ketiga akan merangkumi sesi libat urus bersama Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak serta pihak pemegang taruh.