fb fb fb fb fb

Pertemuan TPM-Prabowo, perkukuh kerjasama strategik kedua-dua negara

Foto Facebook Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 23 April- Pertemuan antara Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Republik Indonesia, Prabowo Subianto membuka ruang yang cukup bermakna untuk memperkukuhkan lagi ikatan persaudaraan dan kerjasama strategik antara kedua-dua negara.

Dr Ahmad Zahid menerusi hantaran di Facebook berkata pertemuan itu membincangkan secara menyeluruh mengenai pelbagai isu semasa dan bidang kerjasama yang penting, termasuk dalam sektor industri halal, kebajikan nelayan, pendidikan tinggi serta keprihatinan bersama terhadap isu kemanusiaan di Gaza.

"Antara hasil positif daripada pertemuan ini adalah kesepakatan awal supaya sijil dan logo halal JAKIM terus diiktiraf bagi produk halal Malaysia yang dieksport ke Indonesia, tanpa keperluan prosedur operasi standard (SOP) baharu.

"Ini adalah suatu pengiktirafan terhadap sistem pensijilan halal Malaysia yang telah mendapat kepercayaan dan pengiktirafan global", katanya menerusi hantaran di Facebook.

Turut mengiringi Timbalan Perdana Menteri ialah Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin.

Kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri ke atas Presiden Indonesia itu berlangsung di Istana Merdeka, Jakarta, Indonesia.

Menurut Dr Ahmad Zahid, lawatan ini merupakan penutup kepada rangka kerja diplomasi tiga hari di Indonesia yang memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama serantau, inovasi ekonomi, dan pengembangan agenda halal ASEAN.

"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Bapak Presiden atas kesudian beliau menerima kunjungan ini, yang saya anggap sebagai satu penghormatan besar dan manifestasi eratnya hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia.

Beliau yakin dengan semangat serumpun yang terus kukuh, sinergi Malaysia dan Indonesia akan terus diperkasa demi membawa manfaat bersama kepada rakyat dan rantau ini.

ROSLINA BINTI DIN