fb fb fb fb fb

Pertemuan PM Anwar dan PM Jordan tekankan sokongan iktiraf negara Palestin di PBB

Datuk Seri Anwar mengadakan mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri Jordan, Bisher Khasawneh

RIYADH, 28 April- Malaysia menegaskan kepentingan sokongan pengiktirafan terhadap negara Palestin, sekali gus memberi keahlian penuh kepada negara itu di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Perkara itu diutarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Jordan, Bisher Khasawneh, di luar Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia, WEF) di Riyadh.

Datuk Seri Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada Jordan yang memainkan peranan penting dalam menyalur bantuan kemanusiaan kepada warga Palestin.

Pada masa sama beliau mengulangi tuntutan agar Israel bertanggungjawab ke atas pelanggaran undang-undang antarabangsa yang dilakukan terhadap Palestin.

Dalam perbincangan selama 20 minit itu, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk mengembangkan kerjasama dalam pelbagai bidang, khususnya perdagangan dua hala yang kini bernilai AS$263 juta (RM1.25-bilion).

Datuk Seri Anwar turut menghargai jemputan Raja Jordan, Raja Abdullah Dua bagi mengunjungi Jordan, tahun ini.

Beliau juga menyatakan hasrat untuk hadir ke Mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan Bersama pada suku pertama 2025.

Mesyuarat tersebut telah tertangguh sejak 2020 akibat pandemik COVID-19.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE