fb fb fb fb fb

Pertandingan jawatan tertinggi parti boleh cetuskan perpecahan UMNO - Mohamad

Foto FB Menteri

KUALA LUMPUR, 12 Januari- Pertandingan bagi jawatan tertinggi parti termasuk presiden dan timbalan presiden pada pemilihan akan datang, sedikit sebanyak boleh menyebabkan perpecahan dalaman.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata adalah lebih wajar untuk jawatan itu tidak dicabar pada pemilihan kali ini.

“Kalau boleh dalam keadaan kita jatuh terduduk ini, sebaiknya jawatan presiden dan lain-lain itu eloklah menang tanpa bertanding kerana kalau bertanding sedikit sebanyak ia akan menyebabkan perpecahan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian serentak Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, terbuka untuk menerima cabaran daripada mana-mana pihak bagi jawatan timbalan presiden dan mempertahankannya pada pemilihan kali ini.

“Saya terbuka, siapa yang nak bertanding. Saya mempertahankan jawatan timbalan presiden, saya tiada isu,” katanya.


(Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan/Foto FB Menteri)

Sementara itu, beliau turut menegaskan semua ahli UMNO digesa untuk memerangi budaya politik wang.

Ini penting bagi memastikan parti kekal relevan dan berdaya tahan.

"Kepada semua ahli UMNO, sedarlah. Politik wang adalah jelik, jijik dan sangat keji. Keji pada agama, keji pada adat, keji pada amalan.

UMNO hanya untuk mereka yang bersih, berjuang, dan mengasihi bangsanya. Kita mesti membunuh politik wang, sebelum politik wang membunuh UMNO," tambahnya.

Media Baharu