KUALA LUMPUR, 23 Oktober - Sebarang dasar berkaitan penggunaan media sosial dalam kalangan pelajar perlu berpaksikan kepada pembentukan nilai dan adab, bukan semata-mata soal sekatan atau hukuman.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, langkah terbaik untuk menangani isu penggunaan media sosial di sekolah perlu diperhalusi termasuk kemungkinan mengehadkan umur pengguna antara 14 hingga 16 tahun seperti yang diamalkan beberapa negara lain.
Beliau berkata, meskipun terdapat negara yang meluluskan penggunaan media sosial dengan syarat tertentu, ada juga yang membatalkan hak penggunaannya sama sekali, malah pendekatan itu turut mencetuskan bantahan oleh segelintir pihak.
"Soal media sosial telah juga kita suarakan, pandangan kita, tapi sehingga kita boleh muktamadkan media sosial, banyak negara-negara yang sudahpun memulakan sama ada umur 14 ataupun 15 dan 16.
"Ada diluluskan dengan syarat, ada yang membatalkan hak sama sekali, tapi ini pun mengundang banyak bantahan. Dia bukan mengharamkan telefon, tapi mengharamkan media sosial dan penggunaannya di sekolah, melainkan di pagar sekolah", katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menambah, isu yang timbul bukan hanya terhad kepada media sosial semata-mata, tetapi turut melibatkan permainan dalam talian, aktiviti perjudian serta ancaman pedofil yang memberi kesan negatif terhadap perkembangan pelajar.
"Kemudian, kalau guna telefon... jadinya masalah bukannya media sosial, tapi juga gaming, itu tidak memerlukan media sosial, dia teks terus. Juga, merujuk kepada pedofil dan juga merujuk kepada perjudian. Jadi ini sedang diteliti.
Tegas Perdana Menteri lagi, dalam apa jua dasar pendidikan, aspek nilai dan adab perlu dijadikan teras utama agar generasi muda tidak terperangkap dalam arus teknologi tanpa panduan moral.
"Tapi saya sekali lagi cenderung bahawa negara ini kalau kita nak pertahankan soal nilai, bahawa kita dalam falsafah pendidikan itu, tidak boleh lari daripada semangat 'Addabani robbi fa ahsana takdibi'... bahawa ilmu, kecanggihan, tetapi tidak boleh lari daripada persoalan adab dan akhlak. Jadi, kita ini bila kehilangan nilai yang menjadi begitu", katanya.