fb fb fb fb fb

Pelajar UM maut: KPT serah kepada pihak berkuasa

Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir

PUTRAJAYA, 23 Oktober - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung kematian pelajar Universiti Malaya (UM), yang dipercayai terjatuh dari bangunan asrama pada Khamis lepas.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, perkara tersebut masih dalam siasatan pihak berkuasa.

"Kita serah kepada pihak berkuasa, pihak polis untuk menyediakan laporan itu. Jadi untuk peringkat ini, biarlah kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan sewajarnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Karya Agung Melayu (PAKAM) 2025 mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini.

Dalam kejadian 17 Oktober lalu, Ahmad Arif Zawir Mohd Ali, 22, maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama kediamannya dan polis kemudian mengesahkan punca kematian akibat kecederaan serius di kepala kerana jatuh dari tempat tinggi.

Ahmad Arif yang juga pelajar Sains Gunaan Pengajian Islam, Akademi Pengajian Islam UM, dikejarkan ke Pusat Perubatan UM (PPUM) untuk rawatan dan mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI