KUALA LUMPUR, 23 Oktober- Hukuman rotan di sekolah wajar diteliti serta dipertimbang semula, namun hanya dengan syarat yang ketat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Soal rotan, pandangan peribadi saya, saya telah suarakan, harus dikembalikan…tetapi dengan syarat ketat, bukan rotan di khalayak ramai. Rotan mungkin di tangan, bukan diberi kelonggaran sepenuhnya.
"Saya pernah jadi guru, saya rotan tetapi di tangan dan tentunya tidak sampai tahap penderaan," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Jelutong, R. Sanisvara Nethaji Rayer berhubung cadangan agar guru diberikan budi bicara untuk merotan bagi mendisiplinkan murid seperti amalan yang pernah dilaksanakan pada masa lalu.
Namun, Anwar menegaskan bahawa pandangan itu merupakan pendapat peribadinya dan belum menjadi dasar kerajaan malah perkara berkenaan perlu diperhalusi melalui libat urus menyeluruh antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan pihak berkepentingan termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).
Perdana Menteri berkata walaupun terdapat pandangan daripada pertubuhan hak asasi yang menganggap tindakan merotan termasuk dalam kategori penderaan terhadap kanak-kanak, namun ramai pendidik dan ibu bapa berpendapat bahawa langkah itu masih relevan sekiranya dijalankan secara berhemah.
"Ramai pendidik dan ibu bapa merasakan masih ada keperluan untuk mengembalikan amalan merotan, namun dengan syarat ketat serta hanya dilaksanakan oleh guru tertentu di bilik khas seperti bilik disiplin," katanya