PASIR PUTEH, 7 Oktober - Sebanyak 3,000 sekolah di seluruh negara digazet sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) sebagai persiapan menghadapi banjir.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata kesemua sekolah berkenaan siap sedia termasuk di Pantai Timur yang kini berada dalam musim peralihan Monsun Timur Laut.
Pada masa sama, Fadhlina berkata jawatankuasa banjir Kementerian Pendidikan (KPM) juga telah mengadakan mesyuarat pelarasan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
"Penambahbaikan itu fasiliti kedua latihan persedian kepada guru-guru kita, bilik gerakan banjir di KPM sendiri untuk memantau PPS. Dari segi operasi contohnya pemindahan aset sekiranya ada ramalan daripada kaji cuaca khususnya kita akan buat pemindahan aset dengan segera," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Agrotek Madani@KVKPM 2023 di Kolej Vokasional Pasir Puteh, di sini.
Tambah Fadhlina, KPM juga turut telah melakukan persediaan untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekiranya berlangsung ketika banjir.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata seramai 9,500 guru baharu bakal ditempatkan mulai bulan depan bagi mengatasi masalah kekurangan guru.
Katanya, proses temuduga guru terlibat sudah selesai baru-baru ini.
"Memang ada kekurangan bila ada persaraan, ada yang berhenti dan kemudian kita akan cepat-cepat ganti dan itu yang kita katakan sementara, untuk mendapatkan unjuran guru ini kita laksanakan dengan SPP dengan segera mungkin untuk memastikan kekosongan itu sifatnya sementara," katanya.