
KUALA LUMPUR, 14 Mac– Rakyat diseru mengamalkan perbelanjaan berhemah serta bersederhana dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
- Berjimat dan tidak membazir adalah prinsip Islam yang perlu diamalkan.
- Kisah Nabi Yusuf mengajar menyimpan hasil ketika subur untuk menghadapi musim kesukaran.
- Disebabkan ketidaktentuan ekonomi, urus kewangan dengan ilmu dan elak rumah terbuka tahun ini.
Pendakwah bebas dan personaliti media sosial, Amin Idris berkata, sikap berjimat dan tidak membazir merupakan antara prinsip yang ditekankan dalam ajaran Islam.
“Dalam Islam, kita diajar supaya tidak terlalu selesa sehingga leka tanpa membuat perancangan menghadapi cabaran akan datang.
Prinsip itu turut digambarkan menerusi kisah Nabi Yusuf A.S yang menyarankan hasil pertanian disimpan ketika zaman subur bagi menghadapi musim kemarau,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan tersebut menjadi contoh pengurusan sumber secara bijaksana bagi memastikan bekalan mencukupi ketika berdepan krisis.
Beliau berkata demikian kepada RTM bagi mengulas saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyeru rakyat berbelanja mengikut kemampuan.
Tambah beliau, peringatan itu juga wajar diberi perhatian kerana ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik di Asia Barat berpotensi memberi kesan kepada keadaan ekonomi.
Sehubungan itu, langkah penjimatan serta saranan tidak mengadakan rumah terbuka Aidilfitri tahun ini sebagai pendekatan yang sesuai dalam situasi semasa.
“Saya harap pesanan daripada pemimpin negara ini kepada masyarakat sebagai pesanan yang serius.
Kita perlu mengurus kewangan kita dengan kemampuan dan ilmu untuk menjaga harta,” ujarnya lagi.