BANGI, 6 Julai – Lebih 730 pelajar sekolah rendah dan menengah berjaya mencipta sejarah apabila beraksi secara serentak dalam sebuah persembahan orkestra berskala besar yang mempersembahkan lagu warisan Malaysia, 'Wau Bulan'.
Persembahan istimewa itu diadakan sempena Majlis Penutupan Festival Orkestra dan Band Antarabangsa FELDA Malaysia (MIFBOF) 2025, yang turut diserikan dengan penyertaan pelajar orkestra dari Filipina.
Kejayaan itu turut menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR).
Persembahan okestra lagu "Wau Bulan" menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR)
Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti) FELDA, Datuk Mohd Banuri Aris berkata, setiap sekolah yang terlibat diberi nota lagu untuk berlatih secara berasingan.
“Buat pertama kali, FELDA menganjurkan program ini yang menghimpunkan lebih 17 buah sekolah menengah dan 10 sekolah rendah dari sekitar Lembah Klang serta Ipoh.
“Penyertaan turut melibatkan dua negara ASEAN, iaitu Filipina dan Thailand, bagi memberi peluang pelajar berkongsi pengalaman serta mengetengahkan kemahiran masing-masing dalam menghasilkan persembahan yang harmoni,” katanya.
MIFBOF 2025 menyaksikan penglibatan seramai 1,200 pemuzik daripada 19 pasukan orkestra sekolah rendah dan menengah
Penganjuran festival ini turut membuka ruang kepada kerjasama serantau melalui penyertaan antarabangsa.
Ia sekali gus menjadikan muzik sebagai medium penyatuan budaya dan aspirasi belia.
MIFBOF 2025 menyaksikan penglibatan seramai 1,200 pemuzik daripada 19 pasukan orkestra sekolah rendah dan menengah sepanjang dua hari penganjurannya.