fb fb fb fb fb

Persedian banjir, 143 pemegang stok mini di Kelantan dilantik

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail

PENGKALAN CHEPA, 22 November - Sebanyak 143 pemegang stok mini di Kelantan dilantik bagi memastikan bekalan barangan keperluan mencukupi terutama ketika berlakunya banjir.

Ia melibatkan 14 kawasan Parlimen dan 45 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.
 
Menurut Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail, 79 daripada jumlah itu merupakan premis peruncit (DDR), 52 premis pemborong utama (DDW) manakala selebihnya premis minyak diesel dan petrol.
 
Lantikan dibuat berdasarkan kedudukan sebagai pemegang Lesen Runcit Barang Kawalan Berjadual (CSA), lokasi serta kapasiti perniagaan barang kawalan dan keperluan asas yang dijalankan.

"Pelantikan pemegang stok mini ini hinggalah bulan Mac maknanya biasanya untuk musim tengkujuh di Kelantan, jadi pemegang stok mini ini akan pegang dan akan tambah kouta dia sebanyak 30% untuk pastikan bekalan mencukupi, setiap pemegang itu kita beri 26 item untuk disediakan, antaranya saya boleh sebut gula, minyak, beras, gandum, susu biskut," kata Azman kepada media selepas melakukan pemantauan rantaian pengedaran barangan keperluan asas dalam menghadapi bencana alam Monsun Timur Laut 2023/2024, di sini.
 
Sementara itu, pihak KPDN juga memberi jaminan pemantauan daripada 127 penguat kuasa di seluruh negeri akan sentiasa dibuat bagi memastikan tiada kes menyorok barangan keperluan berlaku.

TETITIA YUSOFF