fb fb fb fb fb

Persediaan MTL : YSB edar 2,000 pek makanan kepada APM & bomba Kedah

FOTO YAYASAN SULTANAH BAHIYYAH

ALOR SETAR, 8 November- Sebanyak 2,000 pek 'HeroMeals' diagihkan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Baling, Kota Setar, Pendang, Padang Terap dan Sik yang sering kali terjadi bencana serta pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kedah.

Ia sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Sumbangan tersebut adalah hasil kerjasama antara Yayasan Sultanah Bahiyyah (YSB) bersama NGO rakan strategiknya, Kembara Kitchen Sdn Bhd yang mempunyai kepakaran dalam khidmat catering dan penyediaan makanan “retort-ready to eat”.

YSB dalam kenyataan berkata pihaknya diberi amanah untuk mengedar pek makanan tersebut kepada agensi dan petugas barisan hadapan yang terlibat dalam pengurusan bencana dan khidmat kemanusiaan.

Menu-menu yang disajikan antaranya spaghetti bolognese, nasi basmathi, nasi arab, nasi lemak disertai bersama lauk-pauk.

“Moga ianya dapat membantu hal ehwal kebajikan makan-minum para petugas bencana ini yang kebanyakan adalah sukarelawan di kala kecemasan atau situasi yang mendesak di lapangan. Hanya buka plastik dan boleh terus dimakan,” katanya dalam kenyataan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE