PUTRAJAYA, 1 April- Kelancaran hari pertama pembukaan sempadan antarabangsa didorong persediaan awal yang rapi dibuat semua pihak terlibat.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ia termasuk penugasan 346 petugas kesihatan bagi membantu pegawai imigresen untuk memastikan pengembara mematuhi protokol kesihatan di 75 pintu masuk negara.
"Saya juga telah tanya pengembara berkenaan pengalaman mereka dan mereka memaklumkan sangat mudah untuk mendapatkan pas pengembara dalam MySejahtera," katanya dalam sidang media sempena pembukaan sempadan negara di sini.
Tambah beliau, syarikat penerbangan perlu memastikan penumpang ke Malaysia sudah memuat turun aplikasi MySejahtera dan mendapatkan kad pengembara sebelum berlepas.
Selain melancarkan urusan dokumentasi pengembara apabila tiba di Malaysia, mempunyai kad pengembara adalah syarat yang ditetapkan dalam protokol kesihatan Malaysia ketika ini.
(Khairy Jamaluddin bercakap dalam sidang media di KLIA 2)
Sementara itu, Khairy berkata kestabilan politik dan pimpinan kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob banyak membantu negara sehingga sampai ke tarikh keramat hari ini, iaitu pembukaan semula sempadan negara.
“Bukan hanya sempadan dibuka, tetapi prosedur operasi standard (SOP) yang lain dapat kita longgarkan seperti solat Jumaat dapat kita rapatkan saf.
Ini adalah usaha kerajaan pimpinan Perdana Menteri yang telah meletakkan satu 'jalan keluar' yang jelas, dan ini adalah pemangkin kepada pemulihan negara,” katanya lagi.