PUTRAJAYA, 1 April- Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyediakan kertas putih berhubung reformasi sistem kesihatan negara untuk dibentang di Parlimen, kata Menterinya Khairy Jamaluddin.
“Dokumen ini dibangunkan dan akan dibentang di Parlimen tidak lama lagi agar segala saranan serta reformasi kesihatan yang dirancang kalis masa depan.
Ini bermakna segala saranan dan reformasi kasihatan akan tetap dilaksanakan tidak kira siapa yang menerajui kementerian ini pada masa hadapan,” katanya pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) KKM 2021 di sini.
Jelasnya, dengan adanya kertas putih itu, beliau berharap perkhidmatan KKM kepada pelanggan, skop tugasan dan kebajikan warga KKM dapat ditambah baik.
"Kertas putih yang dibangunkan setelah dicadangkan pada 15 Januari lepas diharap mendapat sokongan bipartisan apabila dibentangkan di Parlimen nanti," katanya lagi.
(Khairy menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada Pegawai Pergigian KKM, Datin Dr Norinah Mustafa)
Menyentuh peranan warga KKM di semua kemudahan kesihatan kerajaan, Khairy berkata selaras dengan slogan ‘Kami Sedia Membantu’, semua pihak perlu menjalankan tugas sebaik mungkin serta bersedia untuk berhadapan dengan perubahan persekitaran.
“Kita tidak boleh kekal selesa pada sesuatu tahap pencapaian, angkaan pelanggan terhadap perkhidmatan awam semakin hari semakin tinggi dan kita perlu melaksanakan pembaharuan berterusan agar memenuhi permintaan dan harapan rakyat,” katanya.