KUALA LUMPUR, 1 April - Ibu pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjadi tumpuan orang ramai hari ini, susulan kebenaran pengeluaran khas RM10,000 diberikan kerajaan.
Tinjauan Berita RTM petang tadi mendapati urusan dan pergerakan pencarum berjalan lancar dengan dibantu petugas-petugas KWSP.
Sementara itu, pencarum yang ditemui rata-rata hadir ke KWSP bagi menyemak kelayakan pengeluaran dan mengemas kini data peribadi.
Simpanan yang bakal dikeluarkan akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperbaiki taraf kehidupan mereka.
(Orang ramai beratur di kiosk KWSP untuk menyemak kelayakan pengeluaran khas KWSP)
"Bagi saya bagus sebab sebelum ni saya memang tak ambil, saya memang tak nak mohon, tapi yang sekarang sebab ekonomi kan, saya pun baru kena buang kerja, kena behenti kerja, kedai dah tutup, saya kerja buat kek, jadi saya perlukan duit lah untuk hidup dekat Kuala Lumpur ini," kata Sharifudin Mahmud.
"Dengan pandemik COVID-19 sekarang ni masih ada, orang pun banyak perlukan duit, untuk uruskan apa yang patut, bayar hutang dan keperluan anak-anak sekolah sekarang," kata Yusni Zambri.
Selain hadir secara fizikal, pencarum digalakkan menyemak maklumat termasuk baki simpanan secara dalam talian atau melalui aplikasi mudah alih i-Akaun sebelum membuat permohanan pengeluaran.
Tempoh permohonan akan ditutup pada 30 April sementara pembayaran akan dibuat bermula 20 April.