fb fb fb fb fb

4,435 kenderaan pendaftaran Singapura memasuki Malaysia

(Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong melakukan tinjauan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura di Bangunan Sultan Iskandar) 

JOHOR BAHRU, 1 April - Setakat pukul 4 petang tadi, sejumlah 4,435 kenderaan pendaftaran Singapura memasuki Malaysia dalam tempoh pengecualian cukai jalan 20% peratus sempena pembukaan sempadan Malaysia Singapura, yang bermula hari ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata ia melibatkan kedua-dua pintu masuk darat di Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar, Johor Bahru.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 60 pesawat tiba dan 58 lagi berlepas yang melibatkan keseluruhan 29,661 penumpang.

Ia bagi 6,432 ketibaan antarabangsa dan 10,881 penumpang bagi pelepasan antarabangsa.

KLIA 2 pula merekodkan 37 penerbangan yang membawa 19,314 penumpang dengan ketibaan antarabangsa seramai 1,296 orang dan pelepasan antarabangsa pula seramai 2,394 penumpang.

"Kaedah masuk ke Malaysia melalui darat dan ini merupakan pintu utama masuk ke Malaysia dan hari ini juga mod pengangkutan lain seperti udara juga (dalam keadaan) baik," kata beliau selepas melakukan tinjauan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura di Bangunan Sultan Iskandar, di sini.


(Gambar fail)

Dalam pada itu, Wee turut memaklumkan perkhidmatan bas henti-henti antara sempadan Malaysia-Singapura dijangka beroperasi pada 1 Mei ini.

Ketika ini, hanya 24 bas digunakan bagi laluan perjalanan vaksinasi (VTL) dan enam bas shuttle untuk merentas sempadan.

Tambah beliau, satu perbincangan berhubung jumlah pengoperasian bas henti-henti sedang dibuat dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Land Transport Authority (LTA) Singapura.

Keputusan mengenainya dijangka akan diumumkan dalam masa dua minggu lagi.

Jelasnya, terdapat beberapa masalah yang perlu diselesaikan pengusaha bas, antaranya penyelenggaraan dan pemeriksaan di PUSPAKOM.

Media Baharu