PUTRAJAYA, 1 April - Solat jemaah tanpa penjarakan fizikal di semua masjid serta surau, selaras fasa peralihan ke endemik yang bermula hari ini disambut dengan perasaan teruja oleh jemaah masjid.
Tinjauan Berita RTM di Masjid Putra, Putrajaya mendapati, jemaah yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan menggunakan pelitup separuh muka dan mengimbas MySejahtera.
Solat Jumaat berjemaah di masjid ini dihadiri lebih 1,000 jemaah dan berlangsung dengan saf yang dirapatkan.
(Umat Islam menunaikan solat Jumaat tanpa penjarakan fizikal di Masjid Putra, Putrajaya)
Jemaah yang ditemui bersyukur dengan kelonggaran yang diberi namun masih berpendapat pemakaian pelitup muka dan pengimbasan kod My Sejahtera perlu dikekalkan.
"Kita dapat kembali sembahyang berjemaah di masjid tak kira solat biasa ke atau solat Jumaat tanpa penjarakan fizikal, itu yang buat saya terharu sangat-sangat," kata Mohd Fakrul.
"Jadi saya sangat bersyukur sebab kita dapat solat seperti biasa walaupun begitu kita mestilah ikut SOP ditetapkan supaya kita dapat mengekang penularan COVID-19," kata Firdaus Mat Zain.
"Seronoklah kita dapat kembali sembahyang rapat-rapat, kalau sebelum ni kita tengok apa yang penting SOP lah, tak kira di mana-mana basuh tangan, (aplikasi) MySejahtera kena imbas," ujar Muhammad Fakir Husain