fb fb fb fb fb

Perpustakaan UniSHAMS kini dikenali sebagai Perpustakaan Syeikh Abdul Majid

Foto FB Kedah Royal Family

KUALA KETIL, 2 November- Perpustakaan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) kini dikenali sebagai Perpustakaan Syeikh Abdul Majid.
 
Penjenamaan itu sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan yang tinggi kepada jasa, sumbangan dan legasi keilmuan Almarhum Sohibus Samahah Datuk Mursyid Diraja Datuk Paduka Syeikh Abdul Majid Mohd Noor.
 
Almarhum telah mengabdikan seluruh hayatnya untuk memartabatkan ilmu, mendidik ummah dan memperkukuh syiar Islam di Kedah Darul Aman.
 
Majlis Pemasyhuran Perpustakaan Syeikh Abdul Majid disempurnakan oleh Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin di UniSHAMS Kuala Ketil, Baling.
 
Tengku Sarafudin Badlishah bertitah, ia bukan sekadar pemasyhuran nama, tetapi satu bentuk pengiktirafan terhadap jasa besar seorang ulama, pendidik dan mursyid yang telah menyinari dunia pendidikan dan keagamaan di negeri Kedah Darul Aman.
 
Titah baginda, pemasyhuran nama Almarhum Syeikh Abdul Majid pada perpustakaan UniSHAMS amat bertepatan.
 
Ini kerana perpustakaan bukan hanya tempat menyimpan buku, tetapi simbol kepada tamadun dan kecintaan manusia terhadap ilmu.
 
Sehubungan itu, apabila nama Almarhum diabadikan pada perpustakaan tersebut, ia diharap akan menjadi medan ilmu yang aktif dengan aktiviti penyelidikan, inovasi, wacana, dan pencarian kebenaran yang berteraskan wahyu dan akal.
 
Tengku Sarafudin Badlishah turut menzahirkan penghargaan kepada pihak pengurusan UniSHAMS, serta waris keluarga Almarhum atas usaha dan kerjasama menjayakan majlis yang penuh makna itu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM