BALING, 2 November – Seorang lelaki berusia 28 tahun maut selepas terjatuh daripada traktor pemotong rumput ketika melakukan kerja-kerja di sebuah kebun di Kampung Bukit Rawa, Sedim dekat sini, petang semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Ahmad Salimi Md Ali berkata kejadian berlaku sekitar pukul 4 petang apabila Balai Polis Malau menerima aduan daripada orang awam mengenai penemuan seorang lelaki yang terbaring dengan muka berlumuran darah di kawasan berkenaan.
“Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Malau bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling telah bergegas ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Foto PDRM
Siasatan awal mendapati mangsa, yang beralamat di Kampung Gelugor, Karangan, berada di kebun berkenaan bersama seorang lagi lelaki yang merupakan penjaga kebun bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan.
“Mangsa dipercayai terjatuh daripada traktor semasa melakukan kerja di kebun dan tidak sedarkan diri. Pemeriksaan turut menemui kesan kecederaan pada bahagian muka,” jelas beliau.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Baling untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).