fb fb fb fb fb

Perpaduan umat Islam perlu diperkukuh

KUALA LUMPUR, 12 Oktober- Perpaduan dalam kalangan umat Islam perlu diperkukuh demi membina ummah yang kuat dan teguh dalam menegakkan syiar islam di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, sekiranya asas itu kukuh maka hubungan antara kaum dan agama turut sama dapat diperkukuh.

Contoh tauladan baik yang ditunjukkan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat sewajarnya diikuti dalam membina hubungan antara umat Islam dan bukan Islam selari dengan konsep Keluarga Malaysia.

"Rasulullah SAW sentiasa memperlihatkan akhlak yang baik dan kebijaksanaan dalam menangani orang yang jahil tentang agama Islam, latar belakang agama, bangsa dan kaum yang berbeza sudah tentu mempamerkan cara hidup yang berbeza. Akhlak Rasulullah SAW inilah yang sewajarnya dicontohi umat Islam pada hari untuk menjaga keharmonian hubungan antara kaum," katanya.


(Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary)

Ujarnya, umat Islam juga perlu dibangunkan dengan nilai-nilai akhlak Rasullullah S.A.W seperti kesabaran dan toleransi dalam menghadapi cabaran global.

Ahmad Marzuk berucap merasmikan Sambutan Maulidur Rasul peringkat Wilayah Persekutuan di ibu negara.

Pada majlis tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dianugerahkan sebagai Tokoh Utama Maulidur Rasul.

Penganugerahan itu sebagai tanda penghargaan atas khidmat bakti dan sumbangan beliau dalam memartabatkan syiar Islam dan pendidikan Islam khususnya di Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, pekerja am pembersihan syarikat pengurusan alam sekitar, Alam Flora Sdn. Bhd, Arbaani Talib pula menerima Anugerah Khas individu.

Program turut dimeriahkan dengan aktiviti selawat dan perarakan lebih 600 peserta daripada 22 kontinjen agensi kerajaan dan swasta.


(FOTO FB Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia-JKSM)

Media Baharu