KUCHING, 21 April - Perpaduan dan kepelbagaian kaum, budaya serta kepercayaan agama di Malaysia adalah aset penting yang perlu dipelihara dan dipertahankan.
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Azman Mohd Yusof berkata sebagai sebuah negara yang memiliki kepelbagaian latar belakang, sikap hormat-menghormati dan tolak ansur dalam kalangan rakyat perlu berada pada tahap yang tinggi.
“Maka menjadi kemestian bagi setiap dari kita untuk memahami budaya, Bahasa, agama dan cara hidup setiap kaum yang ada di negara ini. Apabila kita saling memahami, maka ruang untuk saling menerima dan bertoleransi akan terbuka lebih luas,” jelasnya.
Menurutnya kementerian melaksanakan pelbagai usaha melalui program dalam memastikan perpaduan rakyat di negara ini tercapai dan dinikmati oleh generasi masa depan.
Datuk Azman berkata menyatakan demikian dalam ucapan aluannya pada Majlis Kembara Perpaduan: Program Rumah Terbuka Aidilfitri dan FoodUnites Sarawak 2024 bersempena Minggu Perpaduan di sini.
Sambutan Minggu Perpaduan Tahun 2024 akan disambut di Johor pada 20 hingga 26 Mei ini.