GUA MUSANG, 22 April- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berusaha memperluaskan lagi Projek Kelas Khas (ProKhas) di kawasan pedalaman untuk membantu komuniti orang asli agar tidak tercicir daripada pelajaran.
Ketua Pengarahnya, Azman Adnan berkata, setakat ini sebanyak tiga kelas ProKhas ditubuhkan di seluruh negara iaitu masing-masing dua di Kelantan dan sebuah lagi di Perak.
Menurut Azman, pihaknya sentiasa meneliti dan melihat keperluan pendidikan orang asli, terutama di kawasan pedalaman.
"Tujuan kita sebenarnya melaksanakan ProKhas ini untuk memastikan anak-anak yang lokasi penempatan mereka jauh dari sekolah kita santuni bagi memberi pendidikan kepada mereka, di kawasan mereka.
"Mereka tak perlu pergi ke sekolah tetapi guru perlu pergi ke kawasan mereka untuk menerima pendidikan seperti anak-anak murid lain di bandar," katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Pendidikan Madani Sekolah Murid Orang Asli di Kampung Kuala Koh, Pos Lebir di sini.
Gua Musang dipilih sebagai lokasi Program Jelajah Pendidikan Madani Sekolah Murid Orang Asli kali ini.
Program yang dilaksana sehingga esok itu akan turut disertai Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.