KUALA LUMPUR, 24 Oktober - Proses perolehan aset pertahanan dibuat secara telus, cekap dan berkesan bagi memastikan setiap aset dimanfaatkan sepenuhnya demi keselamatan dan kedaulatan negara.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, langkah penambahbaikan turut dilaksana menerusi pelbagai jawatankuasa di peringkat kementerian yang berperanan menilai dan menambah baik proses perolehan serta penyelenggaraan aset dari semasa ke semasa.
"Biasanya kalau kita membuat pembelian dan seumpamanya kita mengambil kira jangka masa panjang juga. Ini akan memberikan macam saya sebut tadi dalam konteks berhemat kita dan dalam masa yang sama impak dia agak baik untuk jangka masa panjang."
"Kadang-kadang kita tak boleh mengupayakan aset kita kerana maintenance (penyelenggaraan) sendiri terlalu tinggi. Ini ini kita ambil kira belalanjawan dan pembelian aset-aset baru kita. Bagi saya yang paling penting adalah ketelusan bagaimana kita mendapatkan aset, " tambahnya lagi.
Selain itu, peranan orang tengah turut dikurangkan dalam urus niaga pembelian aset pertahanan bagi memastikan proses perolehan lebih telus dan bebas daripada sebarang unsur yang boleh menjejaskan integriti.
"Sebab itu kita perkenalkan seperti mana Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan yang berhormat menteri kita perkenalkan G2G."
"Jadi kalau kita nak belikan aset tu kita berbincang antara negara dengan negara-negara supaya kita dapat pastikan bahawa pembelian kita itu benar-benar memberikan sesuatu yang terbaik bagi negara kita," katanya ketika ditemui RTM selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV1.