KUALA LUMPUR, 24 Oktober - Sesi khas Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) bersidang di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), dipengerusikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pagi ini.
Sesi khas itu memberi tumpuan kepada rangka kerja ekonomi digital ASEAN atau Mesyuarat Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA), yang dijangka dimuktamadkan menjelang tahun 2026 sebagai usaha memperkukuh kerjasama digital serantau serta memacu ekonomi ASEAN ke arah lebih inklusif dan berdaya saing.
"Selamat datang ke DEFA, khususnya ke rundingan DEFA kita dan yang lebih penting, bagi membincangkan dua isu penting yang memerlukan panduan dasar daripada APCC, iaitu pertama, layanan terhadap duti kastam ke atas penghantaran elektronik dan kedua, pelaksanaan komitmen perkhidmatan kewangan berhubung lokasi kemudahan pengkomputeran.
"Selain itu, kita juga akan menerima perkembangan terkini mengenai pelan kerja ke arah pemuktamadan penuh DEFA menjelang tahun 2026, yang akan menjadi peta hala tuju strategik bagi usaha kolektif kita yang berterusan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat AECC itu di sini.
Tambahnya, perbincangan itu merupakan langkah penting ke arah mencapai ekonomi digital ASEAN bernilai AS$2 trilion menjelang 2030, sekali gus memastikan manfaat pembangunan digital dapat dikongsi secara saksama oleh semua negara anggota, termasuk perusahaan kecil dan sederhana serta syarikat pemula.