fb fb fb fb fb

PERNAS peruntuk RM1 juta untuk program BEST-BYOB 2024

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 6 November - Sejumlah RM1 juta diperuntukan Perbadanan Nasional Behad (PERNAS) bagi program Empowerment Strategy-Be Your Own Boss (BEST-BYOB) untuk menggalakkan penyertaan golongan asnaf dan B40 dalam perniagaan.

Penganjuran kali kedua itu meletakkan sasaran 100 peserta untuk mendapatkan bimbingan menjalankan perniagaan francais.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada komponen program iTEKAD yang diumum menerusi Belanjawan 2024.

"Melalui program ini usahawan-usahawan yang dikenal pasti dan terpilih boleh memilih program bakat usahawan muda ataupun program bakat keusahawanan wanita dimana dua program itu yang telah sedia ada daripada PERNAS," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Program BEST-BYOB 2024, di sini.

Tambah Ewon, bermula tahun hadapan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan memperluaskan program BEST-BYOB kepada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

Kata Ewon, pihaknya mengalu-alukan penyertaan pelajar IPT daripada keluarga golongan asnaf dan B40 ke program itu untuk diberi latihan menjadi usahawan perniagaan prafrancais.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN