fb fb fb fb fb

Lebih 1,700 KIR berjaya keluar status miskin tegar di N.Sembilan

FOTO HIASAN

SEREMBAN, 6 November- Kerajaan Negeri Sembilan berjaya mengeluarkan 1,746 daripada 3,530 Ketua Isi Rumah (KIR) daripada status miskin tegar, setakat 31 Oktober lepas.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, penglibatan pelbagai agensi kerajaan dalam usaha membasmi kemiskinan memberi impak kepada golongan berkenaan.

Usaha berkenaan melibatkan pemberian bantuan kewangan serta bantuan menjana pendapatan yang disalurkan beberapa pihak seperti Jabatan Pertanian Negeri Sembilan, Baitulmal, Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Persekutuan (Felcra) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

"Berdasarkan statistik data e-kasih oleh Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) Negeri Sembilan pada mesyuarat hari ini, sehingga 31 Oktober 2023, seramai 1,746 KIR daripada keseluruhan 3,530 KIR pada Februari telah berjaya dikeluarkan daripada status miskin tegar," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Negeri Sembilan di sini.

Terdahulu, jumlah KIR mencatatkan penurunan seramai 679 dalam tempoh tiga bulan selepas program Pembasmian Miskin Tegar (BMT) yang bermula tahun lalu.

SITI AISHAH BINTI MD ISA