fb fb fb fb fb

Dua jurujual emas rugi RM1.4 juta dirompak

Tangkap layar kejadian rompak

KUALA KANGSAR, 6 November- Dua orang jurujual emas menanggung kerugian kira-kira RM1.4 juta selepas disamun ketika berada dalam kenderaan berhampiran sebuah kedai emas di sini, Perak.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, laporan berhubung kejadian diterima pihaknya pada pukul 11.22 pagi tadi.

"Kedua-dua mangsa (lelaki) telah disamun oleh beberapa lelaki yang memakai topeng dan bersenjatakan parang serta tukul.

"Suspek memecahkan cermin kereta mangsa bagi mendapatkan barang kemas tersebut. Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuala Kangsar, Asistan Superintenden Mohd Subkey Alias di talian 05-7762222.

Terdahulu, video mengenai kejadian tersebut turut tular di media sosial.

SITI AISHAH BINTI MD ISA