AYER KEROH, 22 Jun - Kerajaan negeri Melaka sedang memohon kuota tambahan bagi program MyLesenB2 untuk pelaksanaannya pada tahun depan.
Exco Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, Melaka menerima sebanyak 800 kuota calon bagi program itu pada tahun ini berbanding 2 ribu 500 pada 2024.
Katanya, rata-rata peserta program MyLesenB2 ini adalah golongan belia daripada keluarga B40 yang memerlukan lesen untuk ke sekolah atau bekerja.
Justeru, beliau berharap permohonan itu dapat dipertimbangkan agar dapat dimanfaatkan oleh mereka yang memerlukan.
“Langkah kerajaan memberikan lesen percuma ini merupakan satu inisiatif yang sangat baik bagi membantu golongan yang sebelum ini terpaksa melanggar peraturan semata-mata untuk menuntut ilmu.
Saya menyeru agar Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka memberi tumpuan khusus kepada pelajar-pelajar daripada keluarga kurang mampu yang sedang menuntut di sekolah, agar mereka lebih mudah untuk ke sekolah dengan kenderaan sendiri secara sah.
Difahamkan, JPJ Melaka juga sedang memohon kuota tambahan bagi membolehkan lebih ramai peserta menyertai program MyLesen. Saya melihat ada sinar dan harapan bahawa permohonan itu akan dipertimbangkan dan diluluskan.”
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan MyLesenB2 negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.
Seramai 800 calon telah dikenal pasti di seluruh negeri Melaka melibatkan 478 calon dari daerah Melaka Tengah, 202 calon dari Alor Gajah dan 120 calon dari Jasin.