fb fb fb fb fb

Permintaan global sarung tangan getah meningkat - Zuraida

(Datuk Zuraida Kamaruddin berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU)
Persidangan dan Pameran Sarung Tangan Getah Antarabangsa (IRGCE) ke-10)

PETALING JAYA, 3 Ogos - Nilai eksport sarung tangan Malaysia diunjur mencecah RM23.4 bilion tahun ini berbanding RM17 bilion pada tahun 2019.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata jangkaan tersebut susulan peningkatan budaya kebersihan dalam kalangan masyarakat dunia secara keseluruhannya.

Malah Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) meramalkan tahun ini juga penggunaan sarung tangan getah akan meningkat sebanyak 10% hingga 12% peratus secara berperingkat meski pun selepas pandemik COVID-19.

Permintaan global sarung tangan getah dianggar sebanyak RM399 bilion tahun ini dengan Malaysia dianggar menghasilkan 240 bilion produk berkenaan.

Penyemaian budaya kesihatan di arena global juga antara faktor yang dapat melonjakkan permintaan terhadap produk sarung tangan getah dari semasa ke semasa.


(Foto hiasan)

"Budaya 'hygene' tu dah terserap dalam manusia di seluruh dunia, jadi keperluan untuk menggunakan 'rubber glove' sebagai satu 'lifestyle', cara hidup menunjukkan bahawa kita ini adalah orang yang pembersih, jadi ini juga akan meningkatkan juga 'market demand' pasaran untuk 'rubber glove' dan ketiganya juga mereka telah pun mengenal pasti negara-negara yang harus kita tembus untuk memastikan bahawa rubber glove kita masih lagi mendapat permintaan yang tinggi," kata beliau pada sidang media selepas menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) Persidangan dan Pameran Sarung Tangan Getah Antarabangsa (IRGCE) ke-10, di sini.

MARGMA dengan hos bersama, Majlis Getah Malaysia (MRC) memeterai MoU bersama 18 penaja utama IRGCE yang akan berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada 6 hingga 8 September ini.

IRGCE kali ini disifatkan acara sarung tangan getah terulung kerana menghimpunkan 224 syarikat dari 17 negara dengan penyertaan terbesar dari Malaysia (143 syarikat), diikuti China, United Kingdom, Jerman, Thailand, Taiwan dan India.

Sekali gus, mengekalkan momentum serta pencapaian Malaysia sebagai juara global dalam industri getah.

Media Baharu