fb fb fb fb fb

Perluasan kerjasama halal: New Zealand berhasrat sertai Majlis Halal ASEAN

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah)/Foto RTM

WELLINGTON, 18 Julai - New Zealand menyatakan hasrat untuk menyertai Majlis Halal ASEAN sebagai ahli bersekutu. Ini sekali gus menunjukkan komitmen dalam memperluas kerjasama halal dengan Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu dizahirkan dalam beberapa pertemuan melibatkan pegawai kerajaan dan komuniti rakyat Malaysia di Auckland dan Wellington.

"Dalam banyak pertemuan, mereka juga bersetuju menjadikan Malaysia sebagai hab pengedaran produk halal dari New Zealand untuk pasaran ASEAN serta pasaran tradisional yang mempunyai jaringan antara Malaysia dan negara-negara lain," jelas beliau pada sidang media di Wellington, New Zealand.

New Zealand juga bersetuju untuk menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) yang dijadual berlangsung September ini.

Negara itu akan terlibat dalam sesi padanan perniagaan atau business matching bersama pemain industri dari Malaysia dan negara lain.

Lawatan kerja lima hari Timbalan Perdana Menteri ke New Zealand bertujuan memperkukuh kerjasama dua hala, khususnya dalam bidang perdagangan, pelaburan dan industri halal.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN