fb fb fb fb fb

Perluasan karnival pertanian di Melaka, usaha perkasa sektor agromakanan

Foto FB FAMA Melaka

MASJID TANAH, 12 Januari- Kerajaan Melaka bercadang untuk memperluas program dan karnival pertanian di seluruh negeri Melaka, dalam usaha memperkasa industri pertanian dan agromakanan negara.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, menerusi penganjuran program itu, orang ramai akan menerima manfaat dengan jualan murah yang diadakan selain dapat mengumpul ilmu menerusi produk yang diketengahkan.

"Saya mengharapkan dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam mempromosikan produk-produk pertanian dan peluang-peluang perniagaan yang boleh dihasilkan ini, dapat digunakan sepenuhnya oleh masyarakat setempat.

Ini bagi mereka dapat mengkaji dan menilai tentang pelbagai produk yang boleh dimasukkan ke dalam pasaran komersial pada masa akan datang," kata Datuk Seri Ab Rauf kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Karnival Pertanian Peringkat Parlimen Masjid Tanah 2025 di Kompleks JAPERUN Tanjung Bidara.

Dalam karnival tersebut, orang ramai bukan sahaja dapat menikmati belian barangan dapur dengan harga murah, malah turut menerima anak kelapa, baja dan pelbagai produk lain secara percuma.

Sementara itu, tiga juta benih udang galah dilepaskan di perairan Melaka pada tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, menerusi pelepasan itu, dijangka 25 peratus daripada jumlah keseluruhan itu dapat membiak dan ditangkap sebagai stok makanan.

Katanya, hasil dijangka akan dapat dipancing dalam tempoh enam bulan daripada tarikh ia dilepaskan.

Mengulas lanjut, beliau berharap benih udang galah berkenaan menjadikan Melaka sebagai destinasi pelancongan memancing udang galah yang terkenal di negara.

Terdahulu, 100,000 benih udang galah telah dilepaskan ke perairan Melaka menerusi Jeti Pengkalan Nelayan Paya Lebar.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM