fb fb fb fb fb

Salurkan bantuan BAP secara sistematik, elak keciciran pelajar - Pakar Pendidikan

Pakar pendidikan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad.

KUALA LUMPUR, 12 Januari – Penyaluran Bantuan Awal Persekolahan (BAP) secara sistematik penting untuk memastikan setiap pelajar menerima manfaat sepenuhnya dan mengatasi isu keciciran pendidikan, kata Pakar pendidikan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad.

Dr. Anuar berkata bantuan tunai secara one-off (sekali bayar) itu bukti keprihatinan kerajaan dalam memperkasa sektor pendidikan pelajar di sekolah rendah dan menengah di seluruh negara

"Langkah kerajaan memperluaskan pemberian BAP kepada pelajar Tingkatan Enam buat pertama kali itu merupakan suatu inisiatif yang amat wajar dan patut dihargai.

“Satu tindakan yang cukup menggembirakan, khususnya kepada keluarga yang memerlukan bantuan awal persekolahan untuk anak-anak mereka sehingga ke Tingkatan Enam,” katanya ketika dihubungi Berita RTM baru-baru ini.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) UKM, berharap agar bantuan ini dapat digunakan secara berhemah oleh keluarga penerima.

"Ini untuk memastikan persediaan persekolahan anak-anak berjalan lancar dan membantu mereka bersedia menghadapi alam pendidikan dengan lebih baik," katanya.

Pada Jumaat lalu, KPM mengumumkan agihan BAP sebanyak RM150 secara one-off kepada lebih 5.2 juta murid, dengan peruntukan RM791.25 juta.

Agihan bermula 13 Januari untuk murid Tahun 1 hingga Tingkatan 4.

Sementara itu, agihan bagi murid Tingkatan 6 Semester 2 dan Tahun 1 sesi 2025/2026 akan bermula 16 Februari depan, manakala untuk pelajar Tingkatan 6 dijadualkan pada 1 Julai.

GRACE AISYAH KEDAYAN