fb fb fb fb fb

Ombak besar: Polis Terengganu nasihat jauhi kawasan pantai

ACP Azli Mohd Noor/RTM

KUALA NERUS, 12 Januari- Orang ramai diingatkan untuk tidak mendekati kawasan pantai di Terengganu susulan fenomena air pasang besar dan angin kencang yang melanda terutamanya di daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Azli Mohd Noor berkata fenomena ombak besar dijangka berlaku sekitar pukul 10.00 malam ini yang dikhuatiri menarik perhatian ramai untuk menyaksikannya.

Justeru beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menjadikan fenomena tersebut sebagai alasan untuk berkumpul di tepi pantai kerana tindakan sedemikian boleh mengundang bahaya.

"Saya menyeru masyarakat agar tidak mengambil mudah aspek keselamatan. Kebanyakan golongan remaja dilihat gemar berdiri di tepi tembok untuk menyaksikan fenomena ombak tanpa mengambil kira faktor keselamatan.

"Oleh itu, saya menasihatkan orang ramai untuk lebih mengutamakan keselamatan daripada sekadar menikmati fenomena monsun timur laut," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau lokasi jalan yang ditutup di sini sejak semalam berikutan kerosakan teruk akibat ombak tinggi dan angin kencang.

Dua jalan di pesisir pantai di laluan Mengabang Telipot ke Batu Rakit berhampiran Kampung Mengabang Telipot dan Kampung Tanjung ditutup sepenuhnya bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA