KUALA PILAH, 25 Mei-Kerajaan Negeri Sembilan mengesan satu aktiviti yang disyaki perlombongan haram nadir bumi di atas dua lot tanah milik, di Kampung Sikai, Seri Menanti, Kuala Pilah.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, dalam satu kenyataan berkata, aktiviti itu dikesan susulan aduan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah pada 16 Mei lalu sebelum siasatan dilaksanakan oleh pihak berkuasa.
Menurut Amiruddin, hasil siasatan mendapati wujud aktiviti perlombongan dengan menggunakan peralatan yang menjurus kepada perlombongan nadir bumi di atas dua lot tanah milik.
“Berdasarkan pemerhatian secara kasar, kaedah perlombongan yang dijalankan menggunakan proses larut resap in-situ iaitu kaedah perlombongan yang tidak memerlukan pembukaan kawasan yang besar untuk kerja-kerja pengorekan dan pengalihan tanah tetapi banyak menggunakan proses kimia.
“Melalui proses tersebut, cecair bahan kimia iaitu amonium sulfat digunakan untuk melarut resap dan mengekstrak nadir bumi dari dalam tanah melalui lubang yang telah digerudi dan disalurkan ke kolam tadahan.
Menurutnya lagi, beberapa sampel turut diambil oleh Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Sembilan dan Melaka untuk analisis makmal.
Pihaknya juga telah merampas guni-guni yang mengandungi bahan disyaki berkaitan dengan aktiviti perlombongan nadir bumi serta jentera jentera terlibat.
“Selain itu, kerajaan negeri menggesa semua pihak untuk menyalurkan maklumat dan aduan kepada pejabat daerah dan tanah serta Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan sekiranya terdapat sebarang aktiviti yang mencurigakan berkaitan perlombongan haram bagi mengurangkan ketirisan hasil negeri,” katanya.
(Kolam tadahan yang digunakan untuk mengumpul nadir bumi di Kampung Sikai/
FOTO RTM)