fb fb fb fb fb

Perlis kumpul 4,795 pek darah

Antara peserta yang menderma darah di Hospital Tuanku Fauziah (HTF)

KANGAR, 21 Jun – Kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menderma darah menunjukkan peningkatan positif di Perlis apabila lebih 4,000 pek darah berjaya dikumpul sejak awal tahun.

Menurut Pegawai Perubatan Jabatan Perubatan Transfusi, Dr Mohd Siddqi Abidin berkata sebanyak 4,795 pek darah berjaya dikumpul sepanjang lima bulan pertama tahun ini, berbanding 3,895 pek bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Katanya, peningkatan itu hasil kempen berterusan oleh pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan, agensi kerajaan dan swasta.

“Jumlah ini menunjukkan peningkatan kesedaran masyarakat, dan kami sangat mengalu-alukan lebih banyak program derma darah dijalankan untuk pastikan bekalan sentiasa mencukupi di hospital," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Derma Darah Siri ke-26: Be A Hero, anjuran UMNO Bahagian Kangar dengan kerjasama Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kangar dan Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Program bulanan itu menyasarkan kutipan sebanyak 50 pek darah setiap kali penganjuran.

Ini sekali gus menyumbang kepada tahap bekalan yang selamat dan stabil di hospital berkenaan.

GRACE AISYAH KEDAYAN