LANGKAWI, 21 Jun- 300 anak pokok daripada sembilan spesies hutan tropika, antaranya Merbau, Merawan, Kelat Paya, Resak, dan Penaga telah ditanam di Darulaman Sanctuary, Lubuk Semilang pagi tadi.
Inisiatif Bina Darulaman Berhad (BDB), dengan kerjasama Bytedance System Sdn. Bhd.(TikTok Malaysia) itu merupakan satu usaha yang dijalankan untuk pemuliharaan hutan dan biodiversiti bawah Program Sijil Pemuliharaan Hutan atau Forest Conservation Certificate (FCC).
Menurut Pengarah Program, Azlan Jamil, usaha tersebut dijangka memberi impak jangka panjang yang positif, bukan sahaja kepada ekosistem tempatan, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan alam semula jadi global serta menyokong agenda kelestarian negara.
BDB turut merancang membangunkan satu tarikan berkonsepkan ekopelancongan pendidikan dikawasan tersebut.
"Jadi kami juga menyasarkan bahawa kawasan ini kita akan buat sebagai eco-tourism spot, kita biasa di Langkawi kalau bercuti hanya di kawasan-kawasan pantai, tapi kita ingin mengetengahkan di Langkawi juga ada kawasan hutan yang boleh dijadikan sebagai ekopelancongan," katanya selepas aktiviti menanam pokok di Darulaman Santuari, Lubuk Semilang, Langkawi, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan BDB, Mohd Nasir Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif MFF, Datuk Mohamed Shah Redza Hussein dan wakil Jabatan Hutan Negeri Kedah.
Program tersebut turut disertai lebih 120 sukarelawan yang terdiri daripada komuniti setempat, pelajar sekolah, belia, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan agensi-agensi kerajaan.
Untuk rekod, BDB merupakan organisasi pertama di Malaysia yang diiktiraf dan didaftarkan bawah program FCC yang dibangunkan oleh Malaysia Forest Fund (MFF), sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.