fb fb fb fb fb

Perlis berjaya kumpul lebih 600 pek darah menerusi derma berkala

Program Mai Derma Darah ‘Be A Hero’

KANGAR, 27 Disember - Sebanyak 610 pek darah berjaya dikumpulkan menerusi Program Mai Derma Darah ‘Be A Hero’ yang dijalankan secara berkala setiap bulan sepanjang 2025 di Perlis.

Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya dalam satu kenyataan memaklumkan jumlah itu melebihi sasaran awal yang ditetapkan iaitu 500 pek darah.

''Inisiatif pelaksanaan program ini berikutan bekalan darah yang mencukupi diperlukan Hospital Tuanku Fauziah bagi rawatan kecemasan melibatkan pendarahan di luar jangka seperti kes kemalangan, komplikasi semasa bersalin, bayi pramatang, thalasemia, kanser, kegagalan buah pinggang termasuk mereka yang perlu menjalani pembedahan kritikal.

''Jumlah penderma yang tampil menderma melebihi sasaran setiap kali pelaksanaan program iaitu 50 pek darah khususnya pada hujung minggu, cuti umum atau cuti persekolahan yang membuktikan keprihatinan masyarakat untuk membantu mereka memerlukan," menurut kenyataan itu.

Program yang dilaksanakan sejak 2023 lalu itu merupakan satu tanggungjawab sosial kepada masyarakat bagi menambah stok bekalan darah di Jabatan Perubatan Transfusi, Hospital Tuanku Fauziah.

Program secara berkala itu akan diteruskan pada 2026 dengan menyasarkan pengumpulan 800 pek darah. Bagi menghargai setiap penderma, 50 kupon cabutan bertuah disediakan untuk 50 yang terawal sebagai sokongan kepada setiap penderma darah yang turut serta.

Program itu dilaksanakan UMNO Bahagian Kangar yang diselaraskan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kangar dengan kerjasama Persatuan Sukarelawan Kasih Kangar dan Jabatan Perubatan Transfusi, Hospital Tuanku Fauziah.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI