KUALA LUMPUR, 24 Februari- Kerajaan MADANI terus memperkukuh tatakelola pentadbiran awam melalui pelbagai reformasi institusi dalam meningkatkan akauntabiliti kewangan kerajaan.
Antara inisitif termasuk Pindaan Akta Audit 1957 (Akta 62), memperkenal Papan Pemuka Dalam Talian Ketua Audit Negara (AGD) serta bahas terbuka laporan audit di Dewan Rakyat dan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, Ketua Audit Negara juga diberi kuasa untuk melakukan tindakan susulan mengikut subseksyen 9A (1) Akta 62 bagi mengenal pasti kelemahan pengurusan kewangan menerusi Papan Pemuka Dalam Talian Ketua Audit Negara (AGD).
"Pindaan Akta Audit yang telah diluluskan di Parlimen pada 24 Julai 2024 memperuntukkan kuasa baharu dan skop lebih luas kepada Ketua Audit Negara dalam menjalankan pengauditan, kuasa pengauditan badan lain termasuk syarikat turut diperluaskan kepada mana-mana badan lain termasuk syarikat yang menerima jaminan kewangan daripada persekutuan atau negeri.
"... atau pendekatan 'follow the public money audit' adalah antara mekanisme baharu bawah Pindaan Akta 62 yang dapat memastikan setiap peruntukan dana awam yang dimaklumkan dalam Belanjawan tidak diselewengkan", katanya dalam sesi Dewan Rakyat.
Pernyataan tersebut bagi menjawab soalan yang dikemukan oleh Ahli Parlimen Pasir Salak Jamaludin Yahya yang ingin tahu langkah kerajaan untuk memastikan setiap peruntukan dana awam yang diumumkan dalam Belanjawan tidak diselewengkan memandangkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) masih menunjukkan kelemahan pengurusan kewangan di banyak agensi kerajaan.
Dalam pada itu, M. Kulasegaran turut menjelaskan berdasarkan statistik, sebanyak 12,393 isu telah diaudit dari tahun 2012 hingga Januari 2025.
Daripada jumlah itu, 11,594 isu telah diselesaikan, manakala 799 isu masih dalam tindakan susulan.
Untuk tindakan lanjut pula, sehingga hari ini, 32 isu sedang disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), 138 isu dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 116 isu melibatkan siasatan oleh Jawatankuasa Khas Siasatan (JKS) dan Jawatankuasa Khas Siasatan Dalaman (JKSD) yang diselaras oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
"Setakat 14 Januari 2025, JPA telah mengambil tindakan tatatertib 311 pegawai. Antara tindakan yang telah diambil seperti amaran denda, tangguh pergerakan gaji, turun pangkat dan buang kerja.
"Manakala terdapat dua orang penjawat awam yang telah dijatuh hukum oleh mahkamah. Akhir sekali, integriti pegawai kakitangan kerajaan yang sangat mustahak, tidak ada kompromi, tetapi yang menyusahkan environment dan ini adalah tindakan diketahui oleh Ketua Audit Negara dan perkara ini telah diambil tindakan", katanya.
Beliau turut memaklumkan kerajaan terus komited dalam menangani sebarang ketidakaturan dalam pentadbiran negara dan tidak akan berkompromi dengan kesalahan terbabit.
Pemantauan dan tindakan tegas akan dilakukan terhadap isu-isu yang diaudit.