PUTRAJAYA, 20 Jun- Kerajaan menekankan kepentingan kerjasama sektor swasta dalam memperkukuh sistem pendidikan negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bukan sekadar tanggungjawab sosial korporat (CSR), namun berlandaskan nilai ihsan dan komitmen bersama membina masyarakat MADANI.
"Kita harapkan tentulah sumber kewangan untuk kemudahan sekolah. Kalau dilihat sekarang, kebanyakan sekolah di pinggar bandar memperolehi faedah.
"Rancangan ini harus melibatkan syarikat dan melebarkan jaringannya ke seluruh negara," katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Sekolah Angkat MADANI di sini.
Inisiatif cetusan idea Datuk Seri Anwar itu, mencecah 1,000 buah Sekolah Angkat MADANI menerusi kerjasama 80 organisasi sektor awam dan swasta.
Ini termasuk Yayasan Sime Darby, Yayasan Petronas, Yayasan UEM dan Yayasan TM.
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri menyeru lebih banyak syarikat swasta tampil membantu bukan sekadar menaja, malah memahami peranan mereka dalam membentuk masa depan negara.
Beliau turut mencadangkan agar tokoh-tokoh korporat termasuk ketua pegawai eksekutif syarikat turun padang ke sekolah untuk berkongsi inspirasi, sekali gus memperkenalkan pelajar kepada realiti kerjaya dan mobiliti sosial.
"Kalau dua kali setahun pun mereka turun ke sekolah, beri masa satu dua jam, saya rasa itu pun sudah cukup besar kesannya. Anak-anak kita akan tertarik. Kita tak mampu harapkan pegawai kanan Kementerian Pendidikan sahaja," katanya lagi.