fb fb fb fb fb

Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-15

Majlis Serah Terima Tugas dan Paluan Berundur Ketua Polis Negara di PULAPOL, Kuala Lumpur. / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 20 Jun - Datuk Seri Mohd Khalid Ismail hari ini secara rasmi menerima tugas sebagai Ketua Polis Negara ke-15, menggantikan Tan Sri Razarudin Husain yang bersara selepas lebih empat dekad menabur bakti dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Majlis Serah Terima Tugas dan Paluan Berundur Ketua Polis Negara diadakan dalam suasana penuh istiadat di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur.

Majlis bersejarah itu turut disaksikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Pelantikan Datuk Seri Khalid dibuat secara kontrak selama dua tahun, berkuat kuasa mulai 23 Jun 2025 hingga 22 Jun 2027.

Ia telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, berdasarkan nasihat Perdana Menteri serta perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis, selaras dengan Fasal (4) dan (5) Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.

Anak jati Manong, Perak ini berkelulusan Sarjana Perbandingan Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dan menyertai PDRM pada tahun 1987. Beliau berpengalaman luas dalam bidang risikan dan keselamatan dalam negeri.

Antara jawatan penting yang pernah disandang termasuk Pegawai Perhubungan Keselamatan (Security Liaison Officer, SLO) di London, Timbalan Pengarah Cawangan Khas I, sebelum dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas pada 10 April 2023.

Pelantikan beliau sebagai Ketua Polis Negara mencerminkan kesinambungan dalam kepimpinan pasukan, dengan penekanan terhadap keselamatan negara, pemerkasaan integriti, serta pengukuhan komunikasi awam.

Majlis hari ini turut menyaksikan simbolik pemecahan bendera peribadi Ketua Polis Negara milik Tan Sri Razarudin, sebagai tanda rasmi penamatan tugas beliau.

Istiadat itu diakhiri dengan paluan berundur, melambangkan perpisahan penuh penghormatan daripada seluruh warga PDRM.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE