fb fb fb fb fb

Perkukuh sektor pelancongan, program kereta api warisan akan diwujudkan

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 23 Julai- Satu program kereta api warisan akan diwujudkan bagi memperkukuh sektor pelancongan dan kebudayaan negara.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Khairul Firdaus Akbar Khan berkata idea itu tercetus setelah melihat kejayaan program 'ASEAN Heritage Train'(ATH).

"Pihak kami berbincang dengan pihak KTM untuk kita mewujudkan satu jenis program yang sebenarnya meliputi juga sudut pelancongan dan juga sudut kebudayaan.

"Ini adalah salah satu penanda aras yang cukup baik apabila program ini dapat dilaksanakan.

"Semestinya ia perlu diperkembangkan lagi kepada negeri-negeri yang lain juga supaya semangat ASEAN itu dapat kita terapkan ke dalam masyarakat kita sendiri," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan program ATH petang tadi.

Mengulas mengenai program itu, Khairul Firdaus memberitahu, ia merupakan projek kebudayaan transnasional yang melibatkan tiga negara anggota ASEAN melalui Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Pelancongan Lao PDR, Kementerian Kebudayaan Thailand dan MOTAC.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM