fb fb fb fb fb

Perkukuh perpaduan, pastikan sikap saling menghormati kekal utuh- Tuanku Muhriz

(Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir)

SEREMBAN, 28 September- Pemimpin dan rakyat di Negeri Sembilan diminta untuk terus memperkukuhkan perpaduan bagi memastikan sikap saling menghormati antara satu sama lain kekal utuh.

 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Padang Majlis Bandaraya Seremban.

" Rasulullah SAW juga telah menjadikan tali persahabatan dan persaudaraan sejak mula menegakkan negara Islam Madinah sehingga termertainya Piagam Madinah. Justeru semua pemimpin dan rakyat di negeri ini perlu terus menyemai benih perpaduan dan memperkukuhkan sehingga perasan sayang saling menghormati  antara satu sama lain kekal utuh," titah baginda.

Turut berangkat, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam ucapannya berharap rakyat boleh menjadi contoh memperlihatkan kepelbagaian dan menzahirkan perpaduan yang menjadi teras kepada negara

"Sehubungan itu sempena sambutan Maulidur Rasul ini kita berharap rakyat Negeri Sembilan boleh menjadi contoh memperlihatkan kepelbagaian dalam bingkai kesatuan menzahirkan perpaduan yang menjadi teras kepada Malaysia Madani dengan rakyat di negeri ini menikmati kehidupan yang berkualiti, mampan dan sejahtera," katanya.

Terdahulu berlangsung perarakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan disertai 76 kontinjen.

1
(Perarakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan/ BERNAMA)

Ia melibatkan kira-kira 4,500 peserta  daripada segenap lapisan masyarakat, agensi kerajaan, badan swasta, Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta serta sekolah. 

Majlis turut diserikan dengan alunan qasidah dan selawat oleh Kumpulan Qasidah Ar Rayyan.

Media Baharu