Perkukuh perpaduan, jayakan Malaysia MADANI

KUALA LUMPUR, 31 Disember – Kerajaan MADANI akan terus melaksanakan amanah dengan penuh keberanian, ihsan dan kejujuran, serta beriltizam menunaikan tanggungjawab demi memastikan manfaat nyata dapat dirasai oleh seluruh rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan MADANI komited melaksanakan amanah dengan keberanian, ihsan dan kejujuran demi manfaat rakyat.
  • Seruan perpaduan dan semangat kebersamaan untuk memaknai reformasi berterusan dan memastikan kemakmuran inklusif.
  • Tekad menjayakan Malaysia MADANI yang adil, makmur dan berdaya tahan bagi masa depan negara yang lebih terjamin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen berterusan itu penting bagi menjamin masa depan negara yang lebih terjamin, sejahtera dan berdaya tahan.

Dalam perutusan Tahun Baharu 2026 yang dikongsikan menerusi laman Facebook rasminya, beliau menyeru rakyat Malaysia untuk melangkah ke tahun baharu dengan semangat kebersamaan yang kukuh serta tekad yang jitu.

“Kita melangkah ke tahun baharu dengan semangat kebersamaan yang utuh dan tekad yang jitu untuk terus memperkukuh perpaduan, memaknai reformasi secara berterusan, serta memastikan kemakmuran negara dapat dirasai oleh segenap lapisan rakyat Malaysia.

“Marilah kita bergerak sederap, menyatukan langkah dan tekad, untuk menjayakan Malaysia MADANI yang lebih adil, makmur dan berdaya tahan demi mengangkat martabat negara ke tahap yang lebih tinggi serta memastikan kemakmuran yang inklusif untuk rakyat keseluruhannya,” katanya.

Perdana Menteri turut menzahirkan harapan agar tahun 2026 menjadi tahun lebih cemerlang dan bermakna buat seluruh rakyat Malaysia.

“Saya dan Azizah mendoakan agar negara tercinta ini terus kekal aman, harmoni dan makmur,” kata beliau.